Program Pembangunan Produk PKS

Pengenalan

Program Pembangunan Produk bertujuan untuk membangunkan produk yang berpotensi untuk dipromosi dan dipasarkan melalui pasar raya tempatan dan asing di dalam negara. Program ini turut membantu meningkatkan peratus (%) Stock Keeping Unit (SKU) produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di dalam pasar raya besar asing di dalam negara selaras dengan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Pengedaran di Malaysia (Pindaan 2010). Melalui program ini, produk-produk PKS mampu untuk bersaing dengan produk keluaran syarikat asing yang telah memasuki pasaran pasar raya tempatan dan asing di dalam negara. Selain itu, ia juga akan meningkatkan kemahiran pengusaha PKS untuk mengendali dan merancang proses pengeluaran produk bagi memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar.


Kaedah Pelaksanaan

Program ini bertumpu kepada produk-produk PKS yang dikenalpasti berpontensi untuk dimajukan dan dipasarkan ke pasar raya besar berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
  1. Produk yang berpotensi untuk disenarai tetap di pasar raya besar; dan
  2. Gagal menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak pasar raya seperti ketidaksesuaian pembungkusan (packaging) dan ketiadaan tempoh hayat produk (shelf-life) serta lambakan jenis produk dalam kategori yang sama di pasaran.
Program ini akan dilaksanakan secara "cost-sharing” antara KPDNKK dengan usahawan. Kementerian akan membiayai 70% daripada kos manakala bakinya akan ditanggung oleh usahawan. Dalam melaksanakan program ini, usahasama dibuat dengan agensi yang mempunyai kepakaran dalam aspek penjenamaan dan pembangunan produk. Agensi berkenaan akan membantu Bahagian ini dari segi merangka program pembangunan yang bersesuaian berdasarkan aspek penambahbaikan yang telah dikenalpasti.