Kempen Beli Barangan Malaysia

Pengenalan

Kempen Beli Barangan Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1998 dan diteruskan pelaksanaannya sehingga kini. Penjenamaan semula kempen ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Ia juga bagi mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Pelaksanaan kempen ini melibatkan dua pendekatan utama iaitu melalui kempen kesedaran di media massa dan media sosial, serta penyertaan dari pelbagai agensi swasta, NGO, persatuan perniagaan, koperasi dan pasar raya dengan menjalinkan kerjasama pintar bagi mempromosi dan mengiklankan barangan buatan Malaysia. Antara elemen yang menjayakan program Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia adalah melalui ekspo sebagai salah satu medium promosi mula dilaksanakan pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, pelaksanaan ekspo ini tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian semasa.


Objektif

  1. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.
  2. Merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan (domestic consumption).
  3. Membantu pengusaha tempatan meluaskan jaringan pemasaran dengan meningkatkan permintaan tempatan.
  4. Mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


Definisi "Barangan Malaysia"

Barangan Malaysia didefinasikan sebagai "produk mestilah dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51% bahan / kandungan tempatan dan produk-produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan (manufacturing activity)".


Skop Pameran

Program Beli Barangan Malaysia mensasarkan penglibatan:
  1. Pengusaha-pengusaha produk dan perkhidmaan tempatan yang dikenalpasti mampu bersaing dengan produk dan perkhidmatan jenama antarabangsa.
  2. Syarikat yang terlibat mestilah dimiliki oleh warganegara Malaysia.
Golongan sasar (pengunjung) - rakyat tempatan dan pelancong asing.


Penyertaan Dalam Program

Syarikat yang ingin mengambil bahagian haruslah menepati kriteria seperti berikut:
  1. Barangan Malaysia seperti dalam definisi.
  2. Barangan dan perkhidmatan mesti berkualiti.
  3. Barangan dan perkhidmatan yang telah dieksport.
  4. Barangan dan perkhidmatan yang belum dieksport tetapi adalah "export ready".
  5. Barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menepati piawaian yang menjadikan barangan dan perkhidmatannya berkualiti dan mampu bersaing setanding dengan barangan dan perkhidmatan syarikat besar.
Sektor pameran yang terlibat:
  1. Gaya hidup (termasuk pakaian, produk kecantikan, produk kesihatan, perkhidmatan spa, aksesori pakaian).
  2. Kraftangan dan lukisan.
  3. Pelancongan/Penerbangan.
  4. Perkhidmatan Kesihatan.
  5. Perbankan, Insurans dan Pelaburan.
  6. Jualan Lansung.
  7. Telekomunikasi/ ICT.
  8. Barangan elektrik/ elektronik.
  9. Hiasan dalaman.
  10. Makanan dan minuman.